Kisah luar biasa Iceland di Euro 2016 terus mencuri perhatian apabila skuad itu bangkit daripada ketinggalan 1-0 untuk menewaskan England 2-1 di Nice, awal pagi tadi, sekaligus menempah tempat suku akhir untuk menentang Perancis.

Pada awalnya, kelibat pasukan kerdil yang mendapat sokongan padu itu diramal akan berakhir apabila bertemu skuad Roy Hodgson di peringkat 16 pasukan terbaik, namun ia benar-benar meleset.

Kemenangan Iceland ke atas negara bola sepak, England, bukan sahaja mengejutkan ramai pemerhati bola sepak, tetapi turut membuatkan jurulatih lawan itu meletak jawatan akibat terlalu kecewa.

Apabila Wayne Rooney meletakkan England di depan di minit keempat, Iceland dilihat seperti mendaki gunung untuk kekal beraksi di Perancis. Tetapi jaringan penyamaan yang dilakukan Ragnar Sigurdsson dua minit kemudian kembali membuka harapan.

Gol tunggal England itu diperolehi selepas menerima hadiah sepakan penalti daripada pengadil apabila Raheem Sterling dijatuhkan di dalam kotak penalti, manakala jaringan Ragnar Sigurdsson dilakukan menerusi tandukan.

Di minit ke-18, Kolbeinn Sigthorsson, pula menjaringkan gol hasil rembatan deras, dengan penjaga gol England, Joe Hart, hanya sempat menyentuh sahaja.

Selepas jaringan itu, walaupun Iceland seolah-olah sudah menutup aksi bola sepaknya apabila hanya bermain bertahan, namun kubu England masih lagi jarang-jarang diuji.

Penyerang Harry Kane turut mencuri tumpuan apabila melakukan voley menarik, bagaimanapun ia menuju tepat ke arah penjaga gol lawan untuk mudah diselamatkan.

Bersambung babak kedua, England membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan Jamie Vardy (ganti Sterling) dan Marcus Rashford (ganti Rooney), tetapi tiada perubahan kedudukan berlaku.