Impian Wan Mohammad Arif-Roy King rangkul gelaran sulung Jelajah Dunia di Madrid lebur

Bernama
Mac 31, 2024 15:47 MYT
Keputusan pada final kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 300 itu menyaksikan Wan Muhammad Arif-Roy King mengalami kekalahan ketiga berturut-turut berdepan lawan sama. - Gambar FB BAM
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Yap Roy King terlepas peluang merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia apabila dikecewakan gandingan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlev Isfahani dari Indonesia pada final Kejohanan Badminton Masters Sepanyol 2024, malam ini.
Pada aksi di Pusat Sukan Perbandaran Gallur di Madrid itu, Wan Muhammad Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-65 dunia memberikan saingan sengit sepanjang perlawanan yang berlanjutan hingga ke set penentuan sebelum kecundang 21-18, 17-21, 21-19 dalam tempoh 52 minit.
Pasangan negara yang tewas pada set pertama bangkit mencipta kemenangan penting pada set kedua sebelum meneruskan momentum positif pada set terakhir hingga berjaya mengikat kedudukan 19-19, namun gandingan lawan di ranking ke-34 dunia itu lebih unggul untuk mencipta kemenangan.
Keputusan pada final kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 300 itu menyaksikan Wan Muhammad Arif-Roy King mengalami kekalahan ketiga berturut-turut berdepan lawan sama.
Dalam pada itu, jaguh perseorangan lelaki Singapura Loh Kean Yew muncul juara selepas mengatasi wakil Perancis Toma Junior Popov 21-11, 15-21, 22-20, manakala gelaran juara perseorangan wanita menjadi milik Ratchanok Intanon dari Thailand yang menewaskan rakan senegara Supanida Katethong 21-12, 21-9.
Gandingan Indonesia Rinov Rivaldy-Pitha Haningtya Mentari menjuarai acara beregu campuran selepas mengalahkan Cheng Xing-Zhang Chi dari China 17-21, 21-12, 21-13, sementara Jepun merangkul gelaran beregu wanita menerusi Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang menjinakkan Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi dari Indonesia 12-21, 21-8, 21-16.
-- BERNAMA
#jelajah dunia #rakan senegara #muncul juara #kekalahan ketiga