JAKARTA: Tiada lagi laluan bertol secara tradisional di Indonesia. Itu adalah misi Kementerian Perhubungan Indonesia untuk memperkenalkan sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) pada penghujung 2023.

Ketua Pengarah Perhubungan Darat Indonesia, Budi Setiyadi dilaporkan Kompas sebagai berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan beberapa agensi berkaitan, termasuk Badan Pengatur Jalan Tol (BPJT), dan berharap agar sistem yang sedang diuji itu, dapat dilaksanakan dalam masa yang ditetapkan.

“Mudah-mudahan pelaksanaan itu dapat dipercepatkan kerana di sesetengah negara, ia boleh dilakukan,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menurut laporan itu, BJPT mensasarkan pelaksanaan MLFF di Jawa dan Bali menjelang penghujung 2022.

Sistem itu, yang membenarkan pergerakan antara 40 hingga 50km/j, disediakan oleh sebuah syarikat Hungary bernama Roatex, melalui firma tempatan Sistem Tol PT Roatex Indonesia.

Pelaksanaan sistem itu dijangka dapat menghindarkan barisan yang panjang di tol, menyingkatkan tempoh perjalanan serta meningkatkan tahap kecekapan.

Menurut laporan berkenaan, MLFF menggunakan teknologi sistem satelit navigasi global (GNSS), dan membolehkan transaksi dilakukan melalui aplikasi telefon pintar.

Sistem kedudukan global (GPS) akan menentukan lokasi kenderaan berkenaan melalui pengesanan satelit, serta kepadanan peta yang akan beroperasi melalui sistem berpusat.

Apabila kenderaan itu melepasi jalan bertol, operasi kepadanan peta itu akan berakhir, dan tambang akan dikira oleh sistem berkenaan.

Sementara itu, portal automotif Paul Tan melaporkan, Malaysia – yang masih dalam proses pertukaran kepada sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) – dijangka hanya akan menggunakan MLFF pada penghujung 2025.

Laporan berkenaan menyebut, percubaan MLFF akan dilakukan oleh Green Packet di lebuhraya BESRAYA pada awal tahun ini, namun tiada berita lanjut dilaporkan.