IPOH: Kerajaan Perak bersetuju untuk memberikan insentif sebanyak RM100,000 kepada skuad hoki lelaki Perak yang memenangi Piala Tun Abdul Razak baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata insentif itu diberikan sebagai menghargai pencapaian pasukan berkenaan yang mengharumkan nama negeri.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan hoki lelaki Negeri Perak yang telah menjadi johan Piala Tun Abdul Razak selama dua tahun berturut-turut.

“Maka, dengan ini sukacita saya mengumumkan Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi insentif RM100,000 kepada pasukan hoki berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2022 yang bertemakan ‘Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif’ di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Jumaat.

Pada November lalu, skuad hoki lelaki Perak berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak selepas menewaskan Pahang 2-1 dalam dalam saingan final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Sebagai rekod, Perak turut menewaskan Terengganu dalam aksi final edisi tahun lalu untuk bergelar juara.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi penyertaan pasukan negeri ke Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Katanya peruntukan berkenaan disediakan bagi pelbagai keperluan kejohanan termasuk Para SUKMA.

“Bagi tujuan melancarkan sesi latihan atlet, Kerajaan Negeri menyediakan RM1.4 juta untuk sewaan fasiliti sukan. Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) pula, telah diperuntukkan RM0.5 juta bagi penyertaan di peringkat kebangsaan,” tambah beliau.