Pelari terpantas negara Khairul Hafiz Jantan atau 'Speedy Jantan' merupakan penerima terbanyak insentif Kerajaan Melaka bagi Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, yang berlangsung Julai lepas, dengan jumlah RM28,666.66.

Menerusi kenyataan sempena majlis penyampaian insentif itu hari ini, Khairul Hafiz memperoleh RM10,000 apabila berjaya memenangi pingat emas untuk acara 100m dan 200m; RM10,000 apabila berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara 100m; dan RM5,000 memecah rekod Sukma acara 200m.

Sementara selebihnya perkongsian kemenangan untuk pingat emas bagi acara 4x100m dan 4X400m berjumlah RM2,000 serta perkongsian insentif kerana memecah rekod Sukma untuk dua acara tersebut berjumlah RM1,666.66.

Majlis penyampaian yang diadakan di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini disempurnakan Exco Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah Melaka Datuk Ab Rahaman Ab Karim.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Ab Rahaman berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM120,600 untuk pemberian insentif kepada 49 atlet negeri itu pada Sukma lepas.

Beliau berkata kerajaan negeri berharap atlet yang menerima insentif tersebut menggunakannya untuk tujuan yang berfaedah dan mampu membantu kerjaya mereka sebagai seorang atlet.

"Kita sandarkan harapan yang tinggi kepada semua atlet untuk menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang pada Sukma edisi ke-19 yang dijadual di Perak dalam dua tahun akan datang," katanya.

Pada Sukma Sarawak Julai lepas, Melaka berada pada kedudukan ke-10 pungutan pingat apabila berjaya memperolehi 18 emas, 11 perak dan 28 gangsa. - BERNAMA