PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan terbabit dalam kekecohan isu penjualan tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2017.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam kenyataan di akaun Facebook, menjelaskan FAM hanya terlibat dalam urusan teknikal yang membabitkan perlawanan bola sepak di temasya sukan dua tahun sekali itu.

Urusan penjualan tiket, termasuklah acara futsal, diuruskan sepenuhnya oleh Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (MASOC) dan Kementerian Belia & Sukan (KBS).

BACA: 'Curva off', Ultras Malaya merajuk hanya gara-gara pemain ke 12?

BACA: KJ beri sebab kenapa tiket final tidak dijual atas talian



"Saya berasa kesal kerana terdapat segelintir pihak yang tetap mahu menyalahkan FAM apabila berlaku kekecohan dalam hal penjualan tiket perlawanan akhir ini," kata Hamidin.

Isu tiket hangat dibahaskan penyokong selepas penganjur membuat keputusan tidak menjual tiket secara atas talian seperti kebiasaannya, sebaliknya hanya di Stadium Shah Alam, lokasi di mana perlawanan bakal berlangsung.

Ia menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong, dan FAM antara badan yang mendapat kritikan hebat susulan isu berkenaan.