JOHOR Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan buat kali kesembilan berturut-turut susulan merekodkan kemenangan 5-0 membenam Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Idris, sebentar tadi.

Pengendali pasukan Héctor Bidoglio, menuruskan kesebelasan utama namun tanpa khidmat penyerang utama, Fernando Forestieri.

Corak permainan serangan dilancar sejak permulaan permainan namun penjaga gol skuad Jang, Ahmad Syihan Hazmi, menafikan setiap peluang awal.

Skuad kendalian K.Devan berusaha mencari ruang bagi memperoleh peluang namun saat terbaik hadir menerusi kapten pasukan Negeri Sembilan, Zaquan Adha, namun dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Kegagalan mereka mendahului permainan digunakan sebaik mungkin skuad tuan rumah, Arif Aiman Hanapi, memecah kebuntuan apabila meledak gol pembukaan menerusi rembatan kencang dari bahagian kanan.

Selepas menghasilkan bantuan jaringan buat jaringan pembukaan, Leandro Velazquez, selang beberapa minit kemudian mencetak nama selaku penjaring, sepakan percuma gagal dibaca Syihan menggandakan jaringan buat Harimau Selatan.

Jaringan ketiga JDT hadir awal pada separuh masa kedua, tekanan ke arah kubu pertahanan Negeri Sembilan berhasil apabila Arif bijak merampas bola sebelum menyudahkan jaringan.

Dua gol daripada Bergson Da Silva memberikan penamat yang cukup indah buat pasukan tuan rumah.

Kemenangan tersebut menyaksikan JDT kini mengumpul 46 mata selepas 18 perlawanan dan dipisahkan 10 mata dengan pasukan tangga kedua, Sabah FC.

Dalam aksi di Kuala Terengganu, kekalahan 2-0 Sabah FC kepada Terengganu FC memastikan kejuaraan Liga Super yang kesembilan berturut-turut buat JDT. - Stadium Astro