Ramalan keputusan:

JDT 2 - 0 Sabah FC
KL City 2 - 1 Selangor
Terengganu FC 2 - 0 Kelantan United FC
Penang FC 2 - 1 Perak FC



SELEPAS lebih seminggu Liga Super berehat, minggu ini saingan kembali dengan menampilkan susunan perlawanan mengagumkan.

Tiga perlawanan 'derby' dan juga perlawanan melibatkan dua pasukan teratas liga.

Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mengungguli kedudukan liga selepas merekodkan lima kemenangan daripada lima perlawanan pertama bakal melayan kunjungan Sabah FC yang berada di kedudukan kedua liga.

Kedua-dua pasukan masih belum tewas lagi musim ini dengan Sabah kekurangan mata selepas merekodkan empat kemenangan dan satu seri dalam lima perlawanan.

JDT dijangka turun tanpa dua pemain utamanya, Arif Aiman dan Endrick Dos Santos yang mengalami kecederaan ketika bersama kem skuad kebangsaan baru-baru ini.

Perkara ini mungkin menimbulkan sedikit keresahan dalam kalangan penyokong pasukan Harimau Selatan itu, namun JDT merupakan skuad dengan 'depth' terbaik dalam liga.

Ketiadaan Arif Aiman dan Endrick boleh diganti dengan pemain yang juga mempunyai kualiti seperti Ramadhan Saifullah, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz.

Perlawanan ini juga merupakan ujian besar kepada anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee bagi membuktikan kewibawaan skuad bimbingannya untuk menjadi pencabar musim ini.

Menampilkan barisan pemain yang berpengalaman, cabaran Sabah FC tidak boleh dipandang enteng. Lebih-lebih lagi trio import mereka Jailton Paraiba, Taesu Park dan Saddil Ramdani memulakan kempen dengan cemerlang.

Perlawanan ini dijangka sengit, namun dengan kelebihan bermain di tempat sendiri dan momentum yang ada, JDT dijangka mengatasi Sabah.

Selain itu, dalam tiga pertemuan di Stadium Sultan Ibrahim, JDT menang dengan menjaringkan 3 gol setiap perlawanan.

Satu lagi perlawanan tumpuan ialah 'derby' Lembah Klang antara Kuala Lumpur City menentang Selangor FC.

KL City masih mencari-cari kemenangan pertama dalam saingan liga musim ini selepas sekadar merekodkan tiga seri dan satu kekalahan dalam empat perlawanan.

Sudah tentu menentang musuh setempat, anak-anak buah Bojan Hodak akan lebih bermotivasi untuk merekodkan kemenangan.

Penyerang KL City, Caion akan menjadi tumpuan dalam perlawanan ini memandangkan dia beraksi bersama Selangor musim lalu.

Kapten pasukan Paulo Josue sudah tentu mahu meneruskan prestasi cemerlangnya setelah mempamerkan permainan memberangsangkan pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan baru-baru ini, manakala penyerang muda, Haqimi Rosli juga mahu meneruskan prestasi baik selepas membantu skuad bawah 22 tahun kebangsaan memenangi Piala Merlion baru-baru ini.

Selangor pula mahu bangkit selepas dibelasah 0-4 oleh JDT dalam aksi sebelum ini.

Anak-anak buah Tan Cheng Hoe perlu mencari tonik kepada kebangkitan mereka dan apa yang lebih daripada berbanding kemenangan kepada pasukan musuh setempat?

Faisal Halim yang menemui semula sentuhan jaringan ketika aksi bersama skuad kebangsaan akan menjadi sandaran Selangor untuk mengkucar-kacirkan pertahanan KL City.

Berdasarkan rekod dua perlawanan terakhir kedua-dua pasukan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, satu perlawanan berkesudahan seri 3-3 manakala satu lagi dimenangi KL City dengan jaringan 1-0.

Perlawanan yang dijangka sengit, namun KL City mungkin dengan sedikit kelebihan beraksi di padang sendiri.

Dua lagi perlawanan yang berlangsung malam ini ialah 'derby' Pantai Timur melibatkan Terengganu FC vs Kelantan United FC dan 'derby' utara melibatkan Penang FC vs Perak FC.

Saksikan siaran langsung perlawanan JDT vs Sabah FC di saluran RTM TV2 pada jam 10 malam ini, manakala 'derby' Lembah Klang antara KL City dan Selangor FC di saluran 803 Astro ARENA BOLA pada jam 10 malam ini.

Dua lagi perlawanan melibatkan Terengganu FC vs Kelantan United dan Penang FC vs Perak FC masing-masing boleh disaksikan di saluran 807 Astro ARENA BOLA 3 dan saluran 804 Astro ARENA BOLA 2 pada jam 10 malam ini.


* Syukri Shaari merupakan penerbit Astro AWANI yang memberikan ulasan tentang Liga Bola Sepak Malaysia menerusi slot 'Volley Bersama SuperSyuk'.