Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah memberikan amaran kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya mencari jalan penyelesaian atau berdepan hukuman gantung, namun terdapat beberapa perkara yang harus kita renungkan sebelum pergantungan FAM itu dilaksanakan.

Menurut sumber dari Fourfourtwo.com, Malaysia tidak akan boleh menyertai sebarang kejohanan antarabangsa seperti di bawah kelolaan Persatuan Federasi Bola Sepak (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Jun lalu, Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) telah digantung oleh FIFA kerana permasalahan melibatkan kerajaan dan liga domestik mereka.

Pergantungan FAM ini akan menyebabkan tiada sebarang aktiviti bola sepak boleh dijalankan. Setiap individu yang dibawah persatuan bola sepak Malaysia tidak boleh terlibat dalam sebarang pembangunan atau menyertai setiap acara yang dijalankan oleh FIFA dan AFC.

Pergantungan ini akan memberikan impak kepada program pembangunan di Malaysia. Seperti yang berlaku di Indonesia, FIFA bercadang untuk membina sebuah akademi bola sepak di Sawangan, Depok. Selepas pergantungan PSSI, FIFA membatalkan projek tersebut.

Malaysia juga tidak akan boleh menganjurkan pertandingan di dalam Malaysia. Bayangkan jika negara kita tidak diwarnai dengan pertandingan seperti Liga Perdana, Liga Super dan Piala Malaysia!