Johor tumpang gembira, ganjaran RM10,000 menanti Aniq, RM6,000 buat Shah Firdaus - MB

Siti Nur Aqilla Omar
Julai 31, 2022 10:14 MYT
Kerajaan negeri Johor akan menghadiahkan ganjaran RM10,000 kepada atlet angkat berat, Mohd. Aniq Kasdan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022 semalam.
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor akan menghadiahkan ganjaran RM10,000 kepada atlet angkat berat, Mohd. Aniq Kasdan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022 semalam.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di akaun media sosialnya berkata, RM6,000 pula akan dihadiahkan kepada atlet trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang meraih gangsa di kejohanan yang sama.
Menurut beliau, ganjaran tersebut diberikan di atas kejayaan kedua-dua atlet itu mengharumkan nama negara dan negeri.
"Sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri akan menghadiahkan RM10,000 bagi Aniq Kasdan dan RM6,000 bagi Shah Firdaus atas kejayaan mengharumkan nama negara dan negeri.
"Aniq Kasdan berjaya merangkul pingat emas bagi acara angkat berat 55 kilogram (kg). Manakala Shah Firdaus berjaya merangkul pingat gangsa bagi acara lelaki keirin pada Sukan Komanwel Birmingham 2022. Seluruh Johor tumpang bangga dan gembira!
"Saya difahamkan Aniq telah menamatkan saingan ‘snatch’ dengan angkatan seberat 107 kg pada percubaan pertamanya dan seterusnya dalam saingan ‘clean & jerk’ dengan angkatan 142 kg.
“Bagi Shah Firdaus juga, satu kebanggaan apabila berjaya menamatkan penantian pasukan pelumba berbasikal trek negara selama lapan tahun untuk menang pingat acara keirin,” kata Onn Hafiz.
Dalam masa sama, beliau berkata, kemenangan Aniq dan Shah Firdaus turut menyuntik dan membakar semangat atlet-atlet muda Johor lain dalam menjulang nama negeri dan negara di persada dunia.
Sementara itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd. Aniq Kasdan.
Titah baginda, pencapaian membanggakan anak kelahiran Segamat, itu menjadi kebanggaan seluruh rakyat di negeri ini.
"Anda menjadi kebanggaan kami semua. Semoga terus berusaha mencapai kejayaan,” titah Sultan Ibrahim di Facebook rasmi baginda hari ini.
Semalam, Mohd. Aniq, 20, telah merangkul pingat emas dalam acara angkat berat kategori 55 kg lelaki dengan jumlah 249 kg yang sekali gus mencatat rekod baharu Sukan Komanwel.
#Mohd Aniq Kasdan #Muhammad Shah Firdaus Sahrom #Sukan Komanwel #Komanwel Birmingham