Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat pada Rabu memaklumkan berikutan maklumat masih belum mencukupi, insiden pergaduhan antara pemain Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super yang lalu masih terus disiasat dan tindakan selanjutnya masih belum dapat diputuskan.

Bagaimanapun mesyuarat semalam memutuskan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersalah atas empat pertuduhan.

Ia membabitkan aspek keselamatan ketika Kelantan menjadi tuan rumah kepada Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhamad Keempat Kota Bharu, pada 15 Januari 2013.

Keempat-empat kesalahan ini membawa kepada hukuman denda RM62,500 dan persatuan itu tidak boleh mengemukakan sebarang rayuan.

Dalam sidang media selepas itu, jawatankuasa tatatertib FAM turut memberi amaran kepada KAFA yang 'The Red Warriors' bakal dikenakan tindakan beraksi tanpa penonton jika mengulangi kesalahan yang sama, pada perlawanan berikutnya.

15 Januari lalu, penyokong Kelantan dikatakan telah membaling mercun dan objek keras ke dalam padang dan ke arah penyokong Johor yang kemudiannya didakwa mengundang kekecohan di luar stadium berkenaan.