KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan untuk meneliti kaedah terbaik bagi menyelesaikan segala permasalahan termasuk isu kebajikan atlet yang disuarakan persatuan sukan dan atlet negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu, menerusi sesi dialog awam yang diadakan, pihaknya mengambil kira semua maklum balas dan akan mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan bagi  melaksanakan cadangan tersebut pada masa hadapan.

Kata kenyataan itu, lebih 300 atlet dan 100 persatuan sukan berkongsi maklum balas mereka mengenai isu-isu berkaitan sukan melalui beberapa siri dialog awam bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli.

"Antara isu yang dibangkitkan menerusi sesi tersebut adalah mengenai kebajikan atlet khususnya selepas bersara dan selepas kecederaan, akses kepada kemudahan latihan, peluang terhad untuk menyertai
pertandingan kompetitif dan keperluan untuk penyelarasan yang lebih baik antara pelbagai kementerian.

"Sesi dialog awam ini diadakan sebanyak empat kali secara tertutup  bertujuan untuk membolehkan para peserta meluahkan pendapat mereka secara terbuka," kata kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini. 

Tambah kenyataan itu lagi, sesi dialog awam diadakan itu melibatkan atlet yang mewakili pelbagai sukan termasuk olahraga, seni mempertahankan diri, bola sepak, renang dan gimnastik sementara persatuan sukan termasuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Persekutuan Taekwondo Antarabangsa Malaysia, Persatuan Sukan Terjun Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia.