IPOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membatalkan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu sangat tepat demi menjaga keselamatan semua yang terlibat, khususnya pemain.

Terdahulu, FAM turut membatalkan saingan Piala Presiden dan Piala Belia, susulan penularan pandemik COVID-19.

"Isunya ialah, ramai daripada pemain muda kita yang masih belum divaksin. Kerajaan menerusi program PICK baru hendak mula (vaksin untuk bawah 18 tahun).

"Kita hendak pastikan keselamatan dan kesihatan kepada pemain kita terlebih dahulu. Jadi, saya amat bersetuju dan menyokong keputusan yang telah dibuat oleh pihak FAM.

"Ini kerana, perkara itu jauh lebih penting daripada pertandingan itu sendiri," kata Ahmad Faizal.

Beliau ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan sukarelawan MyVac dan petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar mengumumkan pembatalan MPFL musim ini selepas mengambil kira aspek keselamatan semua pihak termasuk pemain, pegawai dan petugas perlawanan.

Ahmad Faizal berkata, semua liga bola sepak dan futsal itu boleh dimulakan semula apabila negara mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini.

Sementara itu, beliau yakin skuad bola sepak wanita negara mampu memberi saingan dalam kelayakan Piala Asia Wanita 2020 yang dijadualkan berlangsung di Palestin pada 19 hingga 25 September ini.

Menurutnya, gabungan pemain senior dan muda negara akan memberi persembahan terbaik berdepan cabaran Thailand dan Palestin.