Kedudukan Liverpool di puncak liga semakin tergugat

Ian Johan Ariff
Februari 5, 2019 08:58 MYT
Pergerakan Adam Lallana dihalang oleh pemain West Ham, Declan Rice, Robert Snodgrass and Aaron Cresswell - REUTERS
LIVERPOOL seri 1-1 dengan West Ham United di London, sekali gus membuka semula peluang yang seimbang kepada Manchester City dan Tottenham Hotspur dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Liverpool terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-22, apabila Sadio Mane merembat masuk gol selepas menerima hantaran James Milner.
Tidak sampai enam minit, West Ham berjaya menyamakan kedudukan menerusi Michail Antonio, hasil satu gerakan set piece yang memperdaya barisan pertahanan Liverpool.
Walaupun mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan, DIvock Origi gagal memanfaatkan peluang di depan gol, walaupun penjaga garisan gagal mengesan Origi dalam posisi ofsaid.
Keputusan menyaksikan pendahuluan Liverpool di puncak liga dikurangkan kepada tiga mata berbanding lima mata sebelum ini.
Liverpool mengumpul 62 mata, tiga mata di hadapan City yang berjaya melakar kemenangan 3-1 ke atas Arsenal pada Ahad.
Spurs yang berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United pada Sabtu menduduki tempat ketiga dengan 57 mata, lima mata di belakang Liverpool.
Tangga keempat pula dihuni Chelsea yang berjaya bangkit daripada kekalahan 4-0 kepada Bournemouth, dengan menewaskan Huddersfield 5-0.
City boleh merampas kedudukan tersebut daripada Liverpool pada pertemuan dengan Everton pada Selasa sebelum the Reds bertemu Bournemouth pada Sabtu, 9 Februari.
#EPL #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Manchester City #Sadio Mane #Tottenham Hotspur