Kemarau 51 tahun Cardiff City untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris (BPL) berakhir setelah mereka mempamerkan prestasi terbaik di Liga Kejuaraan musim ini. Pada 20 April lalu, City seri 1-1 dengan Burnley dan kutipan satu mata ini cukup untuk mengesahkan status ke peringkat liga paling popular di dunia ini.

Kecemerlangan ini sekaligus memberikan impak yang cukup besar dalam perkembangan bola sepak Wales dan tentunya penyokong tegar Cardiff City.

Pasukan bergelar The Blue Birds ini mula menarik perhatian peminat BPL dari Malaysia sejak dikuasai oleh usahawan tempatan Datuk Vincent Tan kebelakangan ini. Namun popularitinya tidak setanding minat satu dunia terhadap Manchester United yang mempunyai jutaan pengikut , termasuk di Malaysia.

Dalam masa beberapa jam lagi (waktu artikel ini ditulis : 6:00 petang 22 April , Isnin), mampukah penyokong Manchester United turut berkongsi keceriaan seperti mana penyokong Cardiff? Semua amat menanti-nantikan perlawanan BPL yang dijadualkan pada jam 3 pagi waktu Malaysia di mana United akan menentang Aston Villa di Old Trafford. Sekira menang, United akan mengutip 3 mata penuh dan ini tidak memungkinkan pencabar terdekat Manchest City untuk memintasnya.

Melihat kembali BPL musim lalu, United gagal menjulang kejuaraan ke-20 mereka, tetapi kali ini skuad bimbingan Sir Alex Ferguson yakin untuk menebus kembali maruahnya.

The Red Devils kini mendahului 13 mata mengatasi Manchester City dalam kumpulan mata.

Harapan United menjulang kejuaraan lebih awal semakin cerah apabila lawn mereka yang diurus Roberto Mancini tewas 3-1 dalam perlawanan menentang Tottenham Hotspur kelmarin.

Sekiranya kejayaan diukir pada liga ini, ia bakal menjadikan kemenangan yang ke-13 sepanjang 27 tahun perkhidmatan Sir Alex menerajui United.