Kelayakan Piala Asia B-23: Malaysia berdepan laluan berliku

Bernama
Mei 25, 2023 21:15 MYT
Anak buah Elavarasan dijadual bertemu Bangladesh pada 6 Sept, seterusnya Filipina (9 Sept) dan Thailand pada 12 Sept pada aksi kelayakan Piala Asia B-23 2024. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan berdepan laluan berliku selepas diundi bersama gergasi Asia Tenggara Thailand pada aksi kelayakan Piala Asia B-23 2024, yang akan berlangsung di negara Gajah Putih itu pada 6 hingga 12 Sept ini.
Pada majlis undian kejohanan dua tahun sekali itu yang diadakan di ibu negara semalam, turut diundi bersama Malaysia dan Thailand dalam kumpulan H ialah Bangladesh dan Filipina.
Anak buah E. Elavarasan dijadual akan bertemu Bangladesh pada 6 Sept, seterusnya Filipina (9 Sept) dan tuan rumah pada 12 Sept.
Sebelas juara bagi setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan menyertai hos, Qatar ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di negara Teluk itu pada 15 April hingga 3 Mei tahun hadapan.
Sebagai rekod, tiga pasukan terbaik dalam pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 akan layak ke Sukan Olimpik Paris yang dijadual berlangsung Julai hingga Ogos tahun depan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini memutuskan tidak menghantar Skuad B-23 ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada September ini, selepas tarikh pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 ditetapkan dalam bulan sama.
-- BERNAMA
#FAM #Piala Asia B-23 2024 #bola sepak #skuad B-23