KUALA LUMPUR: Tiada kad debit untuk pengeluaran wang? Setidak-tidaknya itu bukan lagi masalah bagi pelanggan Maybank apabila ia memperkenalkan pilihan mengeluarkan wang hanya dengan aplikasi MAE di mesin pengeluaran wang (ATM).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi bank tersebut, bukan sahaja tidak perlu menggunakan kad, malah pilihan itu membolehkan pelanggan tidak perlu memasukkan nombor pengenalan peribadi (PIN).

Maybank berkata, bagi mengaktifkan pilihan tersebut, pengguna perlu menekan ‘ATM cash-out’ di aplikasi MAE.



Pengaktifan itu, katanya lagi, memerlukan tempoh 24 jam sebelum boleh digunakan, dan pelanggan akan dimaklumkan sekiranya pilihan itu berjaya melalui sistem pesanan ringkas (SMS), atau ‘push notification’ dari aplikasi MAE.

Sejurus pengaktifan berjaya, pelanggan hanya perlu meluncurkan aplikasi MAE dan mengimbas kod QR di paparan skrin ATM.

Selepas itu pelanggan perlu memasukkan enam digit PIN untuk aplikasi atau sekadar mengimbas secara biometrik.

Sebaik selesai proses berkenaan, pelanggan boleh memasukkan jumlah wang yang ingin dikeluarkan, dan mengesahkan pilihan itu melalui Secure2u.

Mudah bukan? Teknologi hari ini telah banyak memudahkan urusan kita.