KEVIN De Bruyne dan Riyad Mahrez meledak dua gol ketika Manchester City menumbangkan Manchester United 4-1 bagi memastikan kelebihan enam mata ke atas Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

United telah memenangi tiga perlawanan sebelum ini di Stadium Etihad dalam semua pertandingan tetapi, tanpa Cristiano Ronaldo yang cedera, mereka ketinggalan seawal minit kelima minit menerusi gol De Bruyne.

Selepas Jadon Sancho menyamakan kedudukan, De Bruyne menjaringkan gol kedua bagi City kembali mendahului sebelum tamat separuh masa pertama kemudian melakukan lorongan buat Mahrez meledak gol ketiga sejurus perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua.

United sebelum ini tidak tewas dalam 11 perlawanan bagi waktu biasa untuk semua pertandingan namun mereka dibolosi buat kali keempat apabila Mahrez meledak gol kedua peribadinya, sekali gus membenarkan City ruang untuk bernafas di puncak liga, namun Liverpool berkelebihan satu perlawanan dan perlu berkunjung ke Etihad bulan depan.