Kemenangan di Kiev jamin Ballon d'Or buat Salah

Astro Arena
Mei 24, 2018 00:29 MYT
Mohamed Salah (gambar) menyinar menerusi gandingan bersama Roberto Firmino dan Sadio Mane. Foto Astro ARENA
JOHN Arne Riise berpendapat Mohamed Salah layak untuk menerima anugerah Ballon d'Or dan ia boleh disahkan dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada Sabtu.
Salah menikmati musim yang cemerlang di Anfield apabila mengutip 44 gol dalam semua kejohanan dan membantu Liverpool kembali ke final di pentas Eropah buat kali pertama sejak 2007.
Riise yang turut membarisi pasukan Liverpool pada 11 tahun lalu percaya Salah telah menampilkan aksi yang cukup untuk menyaingi Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi untuk meraih penghargaan tertinggi bola sepak itu.
"Salah sangat merendah diri, tenang dan sentiasa tersenyum. Dia memberikan segalanya buat pasukan," kata Riise.
"Musim ini, dia telah mencapai segala sasaran. Bagi saya, dia layak memenangi Ballon d'Or pada tahun ini dan jika dia memenangi Liga Juara-Juara Eropah, ia terjamin 100 peratus.
"Bagi saya, dia pemain terbaik pada tahun ini."
Salah menyinar menerusi gandingan bersama Roberto Firmino dan Sadio Mane, membuatkan Riise bersyukur kerana dia telah bersara dan tidak perlu berdepan rangkaian tiga serangan itu.
"Sukar untuk mengawal mereka kerana ketiga-tiganya sering bertukar posisi. Mereka pantas, penuh teknikal, mampu menjaringkan gol dan membantu antara satu sama lain.
"Tambahan, mereka bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan gandingan trio ini sangat kuat. Saya lega telah bersara dan tidak lagi bermain!
"Real Madrid pasti sedar tentang situasi ini dan akan berjaga-jaga. Diharapkan, Liverpool akan mengakhirinya dengan kejuaraan."
#Ballon d'Or #bola sepak #Cristiano Ronaldo #John Arne Riise #Liga Juara-Juara Eropah #Lionel Messi #Liverpool #Mohamed Salah #trofi