Kerajaan masih mengkaji kemungkinan untuk menyambung kontrak Formula One selepas kontrak itu tamat pada 2015, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

"Kami akan menimbangnya dengan serius (mengenai pembaharuan kontrak itu) kerana kami perlu meneliti terma dan syarat dan sebagainya...dan kami akan membuat keputusan apabila tiba masanya," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan Grand Prix Petronas Malaysia 2013 di Litar Sepang.

Najib menegaskan Malaysia mempunyai rekod yang terbukti dalam penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

"Penganjuran Formula One telah meletakkan Malaysia di peta dunia. Ia membuktikan Malaysia boleh menganjurkan acara bertaraf antarabangsa yang penting ini. Kami mendapat sokongan daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Jadi, keseluruhannya adalah positif," katanya.

Mengenai perlumbaan hari ini, Najib berkata beliau gembira dengan pencapaian pasukan yang disokong Malaysia, Mercedes AMG Petronas F1 Team, apabila kedua-dua pemandu pasukan itu -- Lewis Hamilton dan Nico Rosberg -- masing-masing berkesudahan di tempat ketiga dan keempat.

Perlumbaan itu dimenangi pemandu dari Jerman, Sebastian Vettel dari Infiniti Red Bull Racing.

Sementara itu, Pengerusi Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) Datuk Mokhzani Tun Mahathir berkata pihaknya berkemungkinan besar akan menyambung semula kontrak Formula One yang bakal tamat pada tahun 2015 itu.

"Kita kena berbincang dengan pihak SIC, kemudian akan membuat tinjauan terhadap penonton dan pihak penaja...kita akan tengok sama ada pihak penganjur akan meneruskan ataupun tidak.

"Keputusan ini masih belum lagi diambil buat masa sekarang," katanya, sambil menambah sambutan pada tahun ini lebih meriah berbanding tahun lepas walaupun tidak mencapai sasaran awal yang ditetapkan iaitu 90,000 penonton pada hari perlumbaan.