BOS England, Gareth Southgate, menyatakan dengan jelas bahawa kerjaya antarabangsa Wayne Rooney masih belum berakhir.

Penyerang Manchester United itu diketepikan daripada skuad ketika kalah kepada Jerman dalam perlawanan persahabatan dan aksi kelayakan Piala Dunia menentang Lithuania pada awal pagi esok kerana kecederaan lutut dan kekurangan beraksi dalam pasukan utama.

Masa depan Rooney di Old Trafford masih menjadi bahan spekulasi hangat tetapi pemain berusia 31 tahun itu dilaporkan tidak sabar untuk berjuang mendapatkan semula tempatnya dalam perancangan Southgate serta lilitan kapten.

Dan Southgate sendiri telah menolak tanggapan bahawa pemegang rekod penjaring terbanyak England itu perlu mempertimbangkan tugasnya di pentas antarabangsa yang berada di penghujungnya.

"Dia benar-benar berada dalam perancangan saya," kata bekas pengurus Middlesbrough itu. "Saya tidak faham mengapa kita bercakap mengenainya apabila dia masih mempunyai peluang untuk berada dalam pasukan ini. Tidak ada sebab mengapa dia perlu menamatkannya."

Prospek Rooney untuk kembali bersama England terus dalam keraguan apabila dia tidak menghadiri pertemuan dengan pemain dalam skuad, hari ini.

Southgate, bagaimanapun, melihat tiada apa-apa yang salah dengan ketiadaan Rooney, memandangkan duo Tottenham yang cedera, Harry Kane dan Danny Rose, juga tidak hadir.

"Kami mempunyai sembilan pemain, termasuk Harry Kane, Danny Rose dan lain-lain yang menerima rawatan, dan Wayne (Rooney) juga sama," kata Southgate. "Ia tidak ada masalah. Perkara yang lebih penting kepada saya adalah pemain yang berasakan mereka dijemput."

England bertemu Lithuania di Wembley bagi mencari kemenangan untuk memastikan mereka kekal di tangga teratas Kumpulan F.