KOTA BHARU: Kesilapan barisan pertahanan dan ketiadaan dua tonggak utama menjadi punca kekalahan Kelantan FC 0-3 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT II) pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Penolong ketua jurulatih Kelantan FC Rezal Zambery Yahya berkata, beliau kecewa dengan persembahan pemain pertahanan kerana tidak patuh arahan yang diberikan sebelum perlawanan terutama jika menerima asakan pasukan lawan.

"Sebelum perlawanan saya telah mengingatkan pemain untuk tidak melakukan kesilapan mudah kerana kita tahu pemain JDT II sekiranya mempunyai peluang sudah pasti mereka tidak melepaskannya.

"Saya melihat ketiga-tiga gol mudah dihasilkan oleh pasukan pelawat hasil daripada kesilapan pemain kita sendiri terutamanya dua gol pada separuh masa pertama terhasil daripada kesilapan dilakukan pemain pertahanan kami sendiri," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Tiga gol kemenangan pasukan pelawat dicipta oleh Mohamad Fadhli Mohd Shas pada minit ke-11, Fernando Rodriguez (13) dan Kei Hirose pada minit ke-55.

Rezal Zambery berkata ketiadaan beberapa pemain utama Kelantan FC turut menjadi faktor kegagalan skuad itu untuk memberi saingan kepada pasukan JDT II pada perlawanan berkenaan.

"Dua pemain tengah Mario Arques dan Syed Sobri Syed Mohamad serta penyerang Nurshamil Abd Ghani tidak dapat diturunkan berikutan mengalami kecederaan pada minit-minit akhir sebelum perlawanan bermula.

"Ketiadaan mereka ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada perancangan awal kami untuk menghadapi perlawanan hari ini (semalam)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata barisan jurulatih masih meletakkan keyakinan kepada pemain untuk melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia musim ini.

"Kita mempunyai satu lagi perlawanan menentang Selangor II pada aksi terakhir 21 Sept ini dan memerlukan kemenangan untuk layak ke Piala Malaysia. Saya masih optimis terhadap pemain saya untuk memperolehi mata pada perlawanan terakhir itu," katanya.

-- BERNAMA