'Khabib tolak tawaran RM62.1 juta? Merepek!' - Dana White

Haider Yutim
Oktober 17, 2018 07:48 MYT
Dana White menafikan laporan yang mengatakan Khabib Nurmagomedov menolak tawaran AS$15 juta untuk bertarung semula dengan Conor McGregor. - Foto REUTERS
PRESIDEN UFC Dana White menafikan laporan yang mengatakan Khabib Nurmagomedov menolak tawaran AS$15 juta (RM62.1 juta) untuk bertarung semula dengan petarung Ireland, Conor McGregor dan akan bersara.
Menerusi akaun Instagramnya, White memuatnaik sebuah foto berupa laporan berita bertajuk 'Khabib Nurmagomedov offered $15 million for rematch with Conot McGregor, turns it down', yang diikuti dengan komennya mengatakan laporan itu "merepek".
"Berita ni merepek nombor satu!" tulisnya.
Komen itu kemudiannya dibalas Khabib yang turut mengakui terlalu banyak berita palsu sejak kebelakangan ini.
"Semua dah di luar kawalan. Terlalu banyak berita yang merepek," kata jaguh MMA dari Rusia itu.
Dalam laporan dikatakan disampaikan bapa saudara Khabib, Alex Nurmagomedov dalam satu temubual dengan akhbar Rusia, baru-baru ini.
Menurut laporan itu, Khabib menolak untuk mengadakan 'rematch' dengan McGregor dan sebaliknya lebih teruja untuk bertemu bekas juara lightweight interim UFC, Tony Ferguson.
BACA: Khabib tolak tawaran RM62.1 juta
BACA: MMA: Khabib tundukkan McGregor, 'mengamuk' di UFC 229
Pada 7 Oktober lalu, Khabib telah menundukkan McGregor menerusi 'submission' (kuncian) pada minit 3.03 pusingan keempat.
Kemenangan itu menambah rekod Khabib kepada 27-0, sekaligus mengekalkan takhta juara dunia lightweight UFC yang dipegangnya.
#bertarung semula #Conor McGregor #Dana White #Khabib Nurmagomedov #Presiden UFC #rematch #Tony Ferguson #UFC #Ultimate Fighting Championship