Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan mengadakan perjumpaan khas dengan pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selepas perlawanan antara skuad kebangsaan dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, malam ini.

Khairy berkata perjumpaan beliau dengan pengurusan tertinggi FAM itu hanya akan diadakan selepas perlawanan berkenaan bagi memastikan pemain skuad negara dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap pertemuan dengan Arab Saudi itu.

Beliau berkata perjumpaan itu adalah bagi membincangkan prestasi hambar yang ditampilkan skuad Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Kelayakan Piala Asia 2019, termasuk kekalahan memalukan 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi, minggu lepas.

"Saya tidak mahu mendahului perjumpaan dengan FAM. Saya akan minta laporan daripada mereka tentang apa yang (sedang) berlaku (kepada skuad Harimau Malaya)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Simposium Pembangunan Sukan Negara 2015 dan Program Persediaan Sukan SEA 2017, di Seri Kembangan, dekat sini malam tadi.

Khairy pada masa sama, turut meminta pengurusan tertinggi FAM termasuk barisan exconya supaya bertanggungjawab terhadap aksi hambar skuad Harimau Malaya ketika ini, sebagaimana yang disuarakan bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa.

"Tidak hanya Presiden (FAM) yang perlu dipertanggungjawabkan tetapi seluruh kepimpinan FAM juga perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku," tegas Khairy.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan sudah mendapat laporan awal mengenai kemalangan jalan raya melibatkan pelumba pelapis berbasikal lebuh raya negara, Nur Rozi Yanti Mat Rodzi yang sedang menerima rawatan di Hospital Kajang.

Beliau turut mengarahkan supaya latihan skuad berkenaan dihentikan sementara waktu, sehingga Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) selesai menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu.

"Saya dimaklumkan oleh Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi (Ismail) bahawa pelumba berkenaan telah sedar, namun masih berada di Unit Rawatan Rapi. Esok saya akan melawat beliau," kata Khairy.

Media sebelum ini melaporkan pelumba berusia 17 tahun itu kritikal selepas terlibat dalam kemalangan dengan van pengiring di KM19, Lebuhraya SILK Kajang, Sabtu lepas ketika ingin berpatah semula ke MSN, Bukit Jalil.

Dalam perkembangan berasingan, Khairy menghormati keputusan pemain perseorangan lelaki negara, Zulfadli Zulkiffli yang bertegas untuk tidak bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana ia hak peribadi pemain itu.

Beliau, bagaimanapun berkata MSN sentiasa terbuka sekiranya juara Remaja Dunia 2011 itu bersedia untuk beraksi di bawah payung BAM pada masa akan datang.

"Kita akur dengan keputusan itu sebab tuan punya badan sendiri tidak mahu menyertai program BAM. Kita tidak boleh paksa beliau.

"MSN sendiri sudah jelaskan kepada Zulfadli apa kelebihan program di bawah BAM tetapi Zulfadli dan bapanya (Zulkiffli Sidek) masih bertegas untuk buat secara persendirian," jelas Khairy.

Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan bekas jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek sebelum ini dilaporkan mencadangkan supaya Zulfadli menyertai BAM, berikutan bakat yang dimiliki pemain berusia 22 tahun itu.