Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari Isnin menyatakan persetujuan untuk bertemu dengan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan beberapa masalah yang timbul.

"Saya tidak ada masalah untuk berbincang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Dewan Rakyat.

Beliau ditanya sama ada bersedia untuk bertemu dengan FAM bagi menyelesaikan isu berbangkit setelah Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan pada Ahad menyarankan agar pendekatan secara bersemuka perlu dilakukan dan bukan dengan cara menegur secara terbuka.

Khairy sebelum ini telah menegur sikap FAM serta menyifatkan badan itu yang tidak mahu mengakui kesilapan sendiri dan enggan menerima teguran sebagai 'baling batu sembunyi tangan'.

Beliau turut menyuarakan rasa kecewa terhadap persatuan yang tidak seolah-olah ‘kebal’ kerana tidak boleh menerima teguran meskipun dari Menteri Belia dan Sukan sendiri.

Menurut beliau, tujuan kritikan tersebut adalah kerana kelemahan Jawatankuasa Keselamatan FAM mengendalikan insiden pistol dalam tandas melibatkan soal keselamatan penonton.

Selain itu, Khairy turut menyuarakan rasa bosan terhadap isu penjualan tiket palsu pada aksi final Piala Malaysia 27 Oktober lalu.

Minggu lalu, sepucuk pistol lama telah ditemui di dalam tandas lelaki Stadium Shah Alam ketika perlawanan di antara Kelantan dan Pahang itu.

Menurut polis, pistol yang mengandungi tujuh butir peluru itu ditemui oleh anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar stadium itu kira-kira jam 9.30 malam.

Polis Selangor telah mengesahkan bahawa pistol itu bukan kepunyaan polis.