Ramalan Keputusan:

KL City 1 - 2 JDT
Kedah Darul Aman FC 3 - 1 Terengganu FC
Sabah FC 2 - 0 Kelantan United FC
Penang FC 2 - 1 Negeri Sembilan FC


PERLAWANAN tumpuan pada aksi saingan kedua Liga Super terarah kepada pertemuan antara KL City FC dan JDT di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

KL City pastinya mahu bangkit selepas sekadar seri 2-2 dengan Penang FC pada aksi pembukaan liga.

JDT pula mahu membina momentum dalam saingan liga selepas memenangi Piala Sumbangsih Jumaat lalu untuk kali keenam berturut-turut.

Beraksi di laman sendiri, Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak sudah tentu mahukan kelebihan itu digunakan sebaiknya untuk membuktikan kemampuan The City Boys dalam saingan liga musim ini.

Namun, JDT sebagai penyandang juara liga sembilan musim berturut-turut bukanlah lawan mudah bagi KL City.

Pada pertemuan musim lalu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, KL City ditewaskan dengan jumlah jaringan 0-3 oleh JDT.

Satu lagi aksi tumpuan ialah pertemuan antara Kedah Darul Aman FC menentang Terengganu FC.

Ketua Jurulatih Kedah, Nafuzi Zain akan melayan kunjungan bekas pasukan kendaliannya di Stadium Darul  Aman, Alor Setar.

Begitu juga bekas bintang Kedah, Liridon Krasniqi yang kembali beraksi di Stadium Darul Aman tetapi kini sebagai pemain Terengganu.

Selepas membelasah Perak FC 1-4 di Stadium Ipoh Sabtu lalu, Kedah pastinya mahu meneruskan momentum dan membuktikan sebagai antara pasukan pencabar liga musim ini.

Terengganu pula, selepas tewas Piala Sumbangsih kepada JDT, sudah tentu mahu bangkit.

Namun, tugas sukar untuk anak-anak buah Tomislav Steinbruckner berhadapan dengan Kedah yang berada pada tahap motivasi tinggi, apatah lagi beraksi di tempat lawan.

Saksikan siaran langsung perlawanan di antara KL City FC vs JDT di saluran 803 Astro ARENA BOLA pada jam 8.15 malam ini.

Jadual perlawanan lain adalah seperti beikut: Sabah vs Kelantan United (saluran 804 Astro ARENA BOLA 2 8.15 malam); Penang FC vs Negeri Sembilan FC (saluran 802 Astro ARENA 2 9 malam); dan Kedah Darul Aman FC vs Terengganu (RTM TV2 9 malam).




* Syukri Shaari merupakan penerbit Astro AWANI yang memberikan ulasan tentang liga bola sepak Malaysia menerusi slot 'Volley Bersama SuperSyuk'.