PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui Brentford menunjukkan keinginan lebih daripada pemainnya ketika kekalahan 1-3 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Komuniti Gtech, pada Selasa.

Malah bekas pengendali kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund itu juga menegaskan beberapa keputusan besar dalam perlawanan tersebut tidak menyebelahi pelawat.

"Ia adalah permainan yang sengit, ia adalah permainan yang sangat dimahukan oleh Brentford.

"Saya tidak pasti anda boleh mengawalnya, setiap sudut adalah ancaman besar kepada pasukan, kami melepaskan gol pertama ketika sepatutnya kami berada 2-0 di depan.

"Malah kami juga perlu lebih jelas apabila mengawal permainan, namun tidak dapat melakukannya malam ini," kata Klopp.

Gol sendiri pemain Liverpool, Ibrahima Konate hasil sepakan sudut dan sepakan Yoane Wissa memberikan Brentford pendahuluan dua gol pada separuh masa pertama selain beberapa keputusan video bantuan pengadil (VAR) yang tidak menyebelahi tuan rumah.

Liverpool merapatkan jurang hasil gol tandukan Alex Oxlade-Chamberlain pada separuh masa kedua, namun Brentford memastikan kemenangan dengan jaringan lewat Bryan Mbeumo, yang menurut Klopp sepatutnya tidak dibenarkan selepas penyerang itu melakukan kekasaran ke atas Konate.

“Saya tidak berpuas hati dengan cara kami bolos, mereka benar-benar tidak mematuhi peraturan, menolak dan menahan, sebab itu ia sukar tetapi saya harap kami lebih baik dalam situasi ini.

"Saya tidak mahu para pemain terikut rentak bermain permainan yang mereka mahu mainkan, namun ia telah berlaku seperti gol ketig itu," kata Klopp.

Sementara itu, pengendali Brentford, Thomas Frank memuji pasukannya selepas satu lagi kemenangan menentang kelab teratas EPL.

Brentford sebelum ini menewaskan Arsenal dan Chelsea dalam kempen sulung mereka di liga utama manakala pada musim kedua telah membelasah Manchester United 4-0 dan menewaskan Manchester City 2-1.

"Saya tidak boleh mengatakan bahawa mereka mengejutkan saya secara besar-besaran tetapi mereka terus mengagumkan.

“Ia adalah keputusan yang hebat untuk kami dalam banyak cara tetapi untuk melakukan apa yang kami mampu lakukan di sini menentang Liverpool adalah sangat mengagumkan,” kata pengendali dari Denmark itu. - Sinar Harian