APABILA sebuah negara kecil dengan populasi kira-kira 300,000 penduduk dan bukan suatu kuasa besar dalam bola sepak berjaya mencapai keputusan seri dengan pasukan yang diketuai pemain bola sepak berprofil tinggi, tidak pelik jika ia menjadi perbualan ramai.

Dalam perlawanan pertama antara Iceland dan Portugal untuk Kejohanan Euro 2016 semalam, kedua-dua pasukan seri 1-1.

Bukan sahaja penyokong tergamam, malah dalam kalangan pemain juga tidak percaya dengan situasi itu.

Paling vokal tentu sekali kapten Portugal yang juga bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Tatkala dia dikritik sebagai tidak menyerlah dalam perlawanan itu, dia sendiri tidak ketinggalan menyelar pasukan lawan yang disifatkan sebagai "terkongkong mentaliti".

BACA: Euro 2016: Ronaldo gagal menyerlah, Hungary kalahkan Austria

Ia diluahkan Ronaldo selepas melihat cara pasukan Iceland meraikan keputusan seri itu, selepas tamat perlawanan.


"Mereka meraikannya seolah-olah sudah memenangi kejohanan ini," kata Ronaldo seperti yang dilaporkan portal berita, Daily Mirror.

Pemain terbaik dunia tiga kali itu juga mengkritik cara permainan Iceland yang bersifat 'bus parking' (banyak bertahan).

Kenyataan Ronaldo itu dilihat sebahagian besar penyokong bola sepak sebagai tidak profesional.

Sebagai pemain yang dianggap ikon bola sepak, penyokong merasakan Ronaldo tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan beremosi dan bernada bongkak sebegitu, apatah lagi pasukan lawan baru kali pertama layak ke Euro.








Perlawanan awal pagi semalam menyaksikan Portugal terlebih dahulu menjaringkan gol melalui Nani pada minit ke 31, sebelum Iceland memadam kelebihan itu melalui Birkir Bjarnason pada minit ke 51.

Untuk rekod, Iceland merupakan negara paling kecil pernah layak ke kejohanan Euro sejak ia mula dipertandingkan pada tahun 1960.