PENGARAH eksekutif Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz, mengesahkan ketua jurulatih, Tomas Trucha kini direhatkan dan akan kembali menyertai pasukan pada bulan depan.

Keputusan drastik itu diambil susulan prestasi hambar Kijang Hijau dalam kempen Liga Super setakat ini.

Ikman menegaskan pihak pengurusan KUFC terpaksa merehatkan Trucha selepas pasukan tidak menunjukkan perkembangan positif dalam enam perlawanan terdahulu.

Tambahnya, pihak pengurusan kini sedang meneliti untuk penstrukturan semula kelab dan tidak menolak kemungkinan Trucha diberikan peranan selaku Pengarah Teknikal KUFC selepas ini.

Sepanjang tempoh bertenang pengendali kelahiran Republik Czech itu, KUFC akan dikendalikan pembantu jurulatih, Nazrulerwan Makmor untuk aksi sepanjang bulan Ramadan ini.

Untuk rekod selepas tujuh aksi Liga Super, Kelantan United kini menghuni kedudukan tercorot liga hasil dua keputusan seri serta lima kali tewas.

"Kami merehatkan Trucha sehingga tamat bulan ini. Saya telah memaklumkan Trucha sehingga tamat bulan Ramadan. Ia adalah keputusan sementara dan menilai semula apa yang diperlukan pasukan," katanya.