Lebih 380,000 orang undi siapa terhebat sepanjang zaman: Messi atau Ronaldo?

Israr Khalid
Mac 15, 2019 07:34 MYT
Kembali menghangat perdebatan berpanjangan tentang siapakah antara mereka yang terhebat sepanjang zaman?
LAMPU limpah Liga Juara-Juara Eropah minggu ini terarah kepada dua sosok – Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Ia terlebih dahulu terarah kepada Ronaldo yang mencipta magis di Turin pada Selasa apabila melenyapkan Atletico Madrid yang sudah sebelah kaki di suku akhir.
Mr. Champions League membayar harga 100 juta Euro yang dilaburkan Juventus, meledak hatrik menakjubkan untuk menidakkan kelebihan dua gol Atleti yang dibawa dari pertemuan pertama.
24 jam kemudian, Messi pula melakar dua jaringan dan dua bantuan gol dalam pertemuan dengan wakil Perancis, Lyon di Nou Camp untuk Barcelona menempatkan diri dalam kelompok lapan terakhir buat kali ke-12 berturut turut sejak 2008.
Bintang Argentina itu membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi penalti Panenka cantik, sebelum menggandakan jaringan dengan ‘tarian’ yang meranapkan benteng lawan.
Philippe Coutinho dan Gerard Pique kemudian masing-masing mencatat satu gol, kedua-duanya hasil hantaran cantik Messi untuk Barca menang 4-0.
Sekaligus, kembali menghangat perdebatan berpanjangan tentang siapakah antara mereka yang terhebat sepanjang zaman?
Sejujurnya sukar untuk membezakan antara keduanya. Messi adalah satu makhluk tuhan yang diciptakan memiliki bakat teknikal luar biasa, sementara Ronaldo adalah contoh ekstrem kerja keras dan sering hadir bersinar pada perlawanan penting.
Pengulas dan juga bekas pemain England, Gary Lineker juga antara yang tidak mampu menentukan yang mana satu, maka diaju soalan kepada peminat bola sepak di Twitter.
Dan lebih 380,000 orang telah memilih.

Beginning to get on my nerves, all this who is the best, Messi or Ronaldo nonsense. So who do you reckon is the greatest?

— Gary Lineker (@GaryLineker) March 13, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Jawapannya sebelum ini sering berubah-ubah. Namun tika dan saat ini, nampaknya 62 peratus khalayak memilih Messi berbanding Ronaldo.
Tidak kiralah berapa ramai pun yang akan mengundi selepas ini, seakan keputusan tetap akan memihak kepada Messi. Maaf para penyanjung Ronaldo!
Ada yang mengatakan pencapaian dan keupayaan Ronaldo lebih hebat daripada Messi, terutamanya apabila kapten Portugal itu telah membawa negaranya menjadi Juara Eropah pada 2016.
Sementara penyanjung seni bola sepak pasti menyebelahi Messi yang memiliki kemahiran menggelecek dan ketajaman dari angkasa lepas yang tidak pernah gagal membuatkan mulut ternganga.
Malah sepuluh tahun lepas gelaran Pemain Terbaik Dunia FIFA juga dimonopoli kedua-duanya (sebelum dipecahkan Luka Modric tahun lepas). Messi dan Ronaldo masing-masing berkongsi lima gelaran, paling banyak dalam sejarah.
Namun cuba ketepikan sentimen dan emosi. Sedarlah bahawa kita adalah generasi yang begitu dirahmati kerana dapat menyaksikan keunggulan dua manusia terhebat dalam bola sepak bersaing untuk berada di persada saban tahun, entah bila akan berakhir.
Nikmatilah ‘perseteruan’ antara dua pahlawan ini, dan setiap detik penuh keindahan yang diciptakan oleh mereka sebagai peminat bola sepak sejati. Sebelum mereka mati.
#barcelona #Cristiano Ronaldo #GOAT #Juventus #Liga Juara-Juara Eropah #Lionel Messi