LEGENDA bola sepak Brazil, Ronaldo, mendedahkan bahawa dia sedang menjalani terapi untuk bertarung dengan masalah kemurungan sambil terkilan dengan cara kesihatan mental diabaikan sepenuhnya sewaktu dia bergelar pemain satu ketika dahulu.

Bekas bintang PSV, Barcelona, Inter Milan dan Real Madrid itu diiktiraf umum sebagai antara pemain terbaik dalam generasinya.

Ronaldo mewakili Brazil dalam empat edisi Piala Dunia dan memenangi Anugerah Kasut Emas dan Bola Perak dalam kejayaan pasukan itu pada 2002 selepas tidak terlibat ketika Selecao turut menjuarai edisi 1994.

Bagaimanapun, dia hanya memenangi dua gelaran liga (kedua-duanya dalam LaLiga bersama Madrid), di mana karier gemilangnya kerap terganggu dengan kecederaan.

Menerusi satu dokumentari baru yang disiarkan DAZN, Ronaldo membincangkan mengenai kesihatan mental pemain bola sepak bersama bekas rakan sepasukannya dalam skuad Brazil dan Madrid, Roberto Carlos.

'O Fenomeno' ditanya dalam satu temu bual bersama Marca mengenai kesukaran yang dihadapinya dan mengesahkan bahawa dia juga menderita disebabkan kemurungan.

"Hari ini, saya perlu menjalani terapi. Saya sudah menjalani terapi selama dua setengah tahun dan saya kini lebih memahami diri saya berbanding sebelum ini.

"Tetapi apa pun, saya daripada generasi di mana anda dicampakkan ke dalam arena dan anda perlu melakukan yang terbaik tanpa ada sedikit pun drama.

"Apabila saya lihat kembali, benar, kami terdedah kepada kepenatan mental yang amat-amat besar dan tanpa sebarang persediaan untuk menghadapinya.

"Juga kerana ia merupakan permulaan era internet dengan kelajuan setiap informasi disalurkan. Pada ketika itu, langsung tiada kesedaran mengenai kesihatan mental pemain.

"Hari ini, pemain lebih bersedia, mereka diberikan perhatian kesihatan yang mereka perlukan untuk menghadapinya setiap hari dan pemain juga sudah banyak dikaji: profil mengenai setiap pemain, bagaimana mereka memberikan reaksi, bagaimana mereka sepatutnya bereaksi.

"Pada zaman saya, malangnya tiada perkara seperti itu kerana kita semua tahu kehidupan dalam bola sepak akan memberikan banyak tekanan dan akan memberikan kesan yang besar sepanjang hidup kita," katanya.