Buat pertama kalinya tiada wakil England di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara sejak 1996 selepas Arsenal dinafikan kemaraan oleh Bayern Munich.

Bayern mara menerusi peraturan jaringan tempat lawan selepas perlawanan terikat 3-3 secara agregat.

Arsenal yang tewas 1-3 kepada Bayern di Emirates Stadium perlu memenangi perlawanan kedua di Allianz arena dengan kelebihan tiga gol.

Pelawat bermula dengan baik apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyerang antarabangsa Perancis, Oliver Giroud seawal minit ke-3.

Bagaikan tersentak, tuan rumah Bayern bangkit dengan melakukan beberapa asakan, namun deretan peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan menyebabkan aksi babak pertama berkesudahan 1-0.

Masuk babak kedua, skuad bimbingan Arsene Wenger meneruskan kebangkitan bagi merapat jurang defisit jaringan.

Bagaimanapun, gol yang dinantikan hanya tiba lima minit sebelum perlawanan tamat hasil jaringan Laurent Koscielny.

Ianya nyata sudah terlewat untuk menafikan langkah Bayern ke peringkat lapan akhir menerusi kelebihan gol tempat lawan.