Juara bertahan, Bayern Munich bertekad menjadikan Allianz Arena sebagai medan kebangkitan dalam misi mengembalikan defisit 1-0 ke atas Real Madrid dalam aksi separuh akhir kedua awal pagi Rabu.

Bayern Munich dalam buruan menjadi kelab pertama dalam sejarah untuk meraih kejuaraan Liga Juara-juara dua kali berturut-turut.

Namun mereka terlebih dahulu perlu memadam defisit jaringan Karim Benzema di Santiago Bernabeu pada aksi separuh akhir pertama minggu lalu.

Ini perlu dibuktikan dengan aksi cemerlang di gelanggang keramat, Allianz Arena dan berdasarkan rekod, ia juga memihak Bayern dengan 10 pertemuan di laman sendiri menentang Real, Bayern menang sembilan kali dan seri sekali.

Buat juara sembilan kali liga Juara-Juara Real Madrid pula pastinya mengharapkan pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo meneruskan rentak cemerlang selepas menyumbat dua gol cantik hujung minggu lalu ketika Real membelasah Osasuna 4-0 dalam saingan La Liga.

Berbekalkan kelebihan satu gol, real tetap perlu memburu gol awal jika mahu merealisasikan impian beraksi di pentas final pada Mei depan selepas Los Blancos tersingkir daripada saingan tiga musim berturut-turut di separuh akhir.