Jurulatih Selangor Mehmet Durakovic memuji aksi konsisten anak buahnya dalam usaha mencabar kejuaraan liga menerusi kemenangan 2-0 ke atas Terengganu pada Sabtu.

The Red Giants meneruskan rentak kemenangan pusingan kedua untuk kekal menghuni kelompok tiga pasukan teratas liga.

Dipisahkan tiga mata dengan pendahulu Pahang, kejayaan mudah ke atas Terengganu tampak tidak diduga setelah hampir semua pemain tempatan dipertaruhkan dalam kesebelasan utama.

Tatkala gandingan mantap K. Gurusamy dan Nazmi Faiz Mansor di bahagian tengah, jentera serangan cemerlang digalas Hazwan Bakri dan Abdul Hadi Yahya.

"Saya berpuas hati dengan aksi pemain tempatan pada malam ini. Kami ketiadaan khidmat import seperti Guilherme dan Leandro tapi pemain lain berjaya meningkatkan mutu permainan mereka. Saya nampak skuad ini berada dalam landasan tepat untuk memperkuatkan pasukan ini," kata Durakovic.

Dalam pertemuan di Stadium Shah Alam itu, Hadi meletakkan tuan rumah di depan seawal minit ke-4 sebelum Robert Cornhwaite menggandakan kelebihan pada minit ke-23 untuk kemenangan 2-0 Selangor.

Kekalahan pula sudah pasti mengundang kritikan peminat terhadap kewibawaan Abdul Rahman Ibrahim yang turut akui skuad Penyu kini berada dalam keadaan kritikal.

"Pasukan ini memang berada dalam keadaan kritkal, dalam sepanjang kerjaya saya sebagai jurulatih saya hanya pernah mengalami 3 kekalahan berturut-turut dan bukannya 6. Saya tidak tahu apa yang tidak kena dengan pasukan ini. Mungkin ini pengalaman baru buat saya tetapi sejujurnya pengalaman seperti ini sudah terlambat buat saya," katanya.