RAMALAN keputusan:
Kelantan United 1 - 1 Perak FC
Kedah Darul Aman 3 - 0 PDRM FC

Dua perlawanan pusingan ketiga saingan Liga Super berlangsung hari ini.

Kelantan United FC melayan kunjungan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Kedua-dua pasukan masih belum merekodkan sebarang kemenangan selepas dua perlawanan dengan Kelantan United mencatatkan dua kekalahan manakala Perak pula tewas satu, seri satu perlawanan.

Beraksi di tempat sendiri, Kelantan United diketuai Indra Putra Mahayuddin pastinya bermotivasi tinggi mahu melakar kemenangan.

Namun, cabaran yang dibawa Perak FC bukan mudah. Selepas tewas 4-1 kepada Kedah Darul Aman FC, dan seri tanpa jaringan menentang PDRM FC, anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim semestinya mahu bangkit mempamerkan aksi cemerlang sekali gus membawa pulang tiga mata.

Perlawanan kedua-dua pasukan dijangka sengit.

Satu lagi perlawanan membabitkan Kedah Darul Aman FC menentang PDRM FC di Stadium Darul Aman.

Dua kemenangan dalam dua perlawanan liga meletakkan Kedah sebagai antara pencabar liga musim ini.

Kedah dilihat tidak berhadapan dengan masalah besar menentang PDRM FC yang masih belum mencatatkan sebarang kemenangan selepas tewas dan seri dalam dua perlawanan liga.

Beraksi di tempat sendiri, anak-anak buah Nafuzi Zain dilihat terlalu kuat untuk PDRM FC.

Saksikan siaran langsung perlawanan antara Kelantan United FC vs Perak FC di saluran 803 Astro ARENA BOLA pada jam 5.30 petang dan Kedah Darul Aman FC vs PDRM FC di saluran sama pada jam 9 malam ini. 



* Syukri Shaari merupakan penerbit Astro AWANI yang memberikan ulasan tentang Liga Bolasepak Malaysia menerusi slot 'Volley Bersama SuperSyuk'.