SABAH FC memastikan rekod cemerlang beraksi di Stadium Likas diteruskan apabila melakarkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC dalam Liga Super, malam tadi.

Kedua-dua pasukan hadir selaku penghuni tangga kedua dan keempat liga, Selangor dan Sabah memasuki perlawanan ke-10 dengan momentum cemerlang, The Red Giants mengatasi Terengganu FC 5-1 sementara Kelantan FC diratah 6-1 di Likas.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya mendahului pada minit ke-23, Baddrol Bakhtiar dijatuhkan Yazan Al-Arab bagi membenarkan Saddil Ramdhani menyempurnakan sepakan penalti mengatasi penjaga gol, Sam Sommerville.

Selangor bagaimanapun berpeluang untuk menyamakan kedudukan di penghujung separuh masa pertama, namun lorongan cemerlang Faisal Halim buat Mukhairi Ajmal gagal diterjemah kepada jaringan.

Faisal turut memperoleh peluang untuk meledak jaringan, namun percubaan pemain itu dapat dinafikan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Selangor turun dalam separuh kedua dengan misi mendapatkan jaringan penyamaan, pertukaran taktikal Tan Cheng Hoe membuahkan hasil apabila percubaan Faisal memaksa Khairul Fahmi menjaringkan gol sendiri pada minit ke-52.

Kegembiraan Selangor hanya bersifat sementara apabila Sabah sekali lagi mendahului menerusi Baddrol yang menemyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-66.

Ketika perlawanan berbaki 20 minit, Sabah melancarkan serangan demi serangan bagi mendapatkan jaringan ketiga gagal berhasil dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat permainan.

Kemenangan ini menyaksikan Sabah melonjak ke tangga ketiga liga dengan 20 mata sementara Selangor kekal di tangga kedua. - Stadium Astro