RAMALAN keputusan: Selangor 2 - 0 Kelantan United

Jangkaan terhadap Selangor FC untuk menjadi pencabar liga musim ini sangat tinggi.

Apatah lagi skuad bimbingan bekas jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe itu telah membawa masuk pemain-pemain berkualiti seperti Faisal Halim, Khuzaimi Pie dan V Ruventhiran.

Dengan Kedah, salah satu lagi pasukan dilihat pencabar liga membuktikan kemampuan selepas membenam Perak 4-1 pada Sabtu, kini tumpuan terarah pula kepada Selangor.

Melayan kunjungan satu lagi pasukan dari Kelantan iaitu Kelantan United FC, skuad diketuai Brendan Gan itu pasti mahu membuktikan kemampuan mereka dengan kemenangan bergaya pada perlawanan pertama, sekali gus mengesahkan status sebagai salah satu pencabar kepada JDT.

Kelantan United pula pasti sedar ancaman dibawa pasukan Selangor. Diketuai pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin dan turut dibarisi bekas pemain yang pernah menyarung jersi Selangor, Shazwan Zainon, kemampuan Kelantan United tidak boleh dipandang rendah.

Namun, Selangor dilihat lebih berkelebihan pada perlawanan ini yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.



* Saksikan siaran langsung perlawanan antara Selangor FC vs Kelantan United di saluran 803 Astro ARENA pada jam 8.15 malam ini.

* Syukri Shaari merupakan penerbit Astro AWANI yang memberikan ulasan tentang Liga Bolasepak Malaysia menerusi slot 'Volley Bersama SuperSyuk'.