KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi empat perlawanan, Terengganu akhirnya meraih kemenangan sulung dalam kempen Liga Super 2023 dengan mengatasi PDRM yang beraksi dengan 10 pemain 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, malam ini.

Pada pertembungan itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama dengan penjaga gol PDRM Mohamad Ramdhan Ab Hamid dilayangkan kad merah selepas mengasari penyerang tuan rumah Jordan Mintah menghampiri waktu rehat.

Situasi itu memaksa Ketua Jurulatih PDRM Azzmi Aziz membuat pertukaran dengan "mengorbankan" pemain tengah Kyaw Min Oo untuk membawa masuk penjaga gol gantian Willfred Jabun bagi mengharungi baki 45 minit kedua perlawanan.

Beraksi dengan 10 pemain ternyata memberi kesan kepada PDRM yang bertungkus lumus mempertahankan gawang daripada dibolosi, namun Terengganu tetap berjaya meledak gol kemenangan menerusi Sardor Kulmatov pada minit ke-76.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat sekali gus menghadiahkan tiga mata buat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner untuk Skuad Penyu memanjat keluar daripada kedudukan tercorot ke posisi keenam liga dengan mengumpul empat mata manakala PDRM yang berkongsi mata sama di tempat ketujuh.

Sementara itu, Kelantan menjadi mangsa terbaharu Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila dibelasah 5-1 pada aksi sebelah petang di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

Ia kemenangan keempat berturut-turut Harimau Selatan sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Esteban Solari mengukuhkan kedudukan di persada liga dengan mengumpul 12 mata.

JDT cemerlang mendahului 3-0 di babak pertama selepas penyerang import dari Brazil Diogo Luis Santo menyempurnakan sepakan penalti walaupun berjaya ditampan Nik Mohd Amin Ahmad pada minit ketiga diikuti jaringan Endrick Dos Santos (minit ke-26) dan Fernando Forestieri pada minit ke-35.

Bersambung babak kedua, Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu melebarkan penguasaan selepas Juan Muniz menyumbat gol keempat menerusi rembatan dari luar kotak penalti sebelum Kelantan memperoleh gol sulung hasil sepakan penalti Leonardo Rolon pada minit ke-69.

Pemain muda sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi turut mencetak nama penjaring pada lewat permainan menerusi sepakan penalti pada minit ke-82 untuk mengesahkan kemenangan bergaya JDT di laman sendiri.

Dalam pada itu, aksi Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur City di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk dan keadaan padang yang ditakungi air.

Menurut kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), tarikh baharu perlawanan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA