KUALA NERUS: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menyalahkan mutu pengadilan Muhammad Fusser Mad Sallih sebagai punca kekalahan 1-3 pasukannya kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.

Beliau berkata banyak keputusan pengadil yang dilihat memihak kepada JDT sehingga menyebabkan tumpuan anak buahnya terganggu dan akhirnya terpaksa beraksi dengan sembilan pemain pada babak kedua selepas Argzim Redzovic dan Ivan Mamut dilayangkan kad merah.

Menurut beliau pengadil sepatutnya lebih peka dengan situasi genting agar dapat membuat keputusan yang baik dan adil kepada kedua-dua pasukan.

"Ini bukan sahaja isu berkaitan penalti dan dua kad merah, tetapi juga kesilapan yang dilakukan di bahagian tengah ketika kita mempunyai peluang yang baik, (tetapi) situasi bahaya kepada gol lawan dan beberapa faul dari belakang...beberapa kali dia membuat kesilapan.

"Apa yang kami boleh katakan (pengadil) dia sudah putuskan siapa yang akan jadi pemenang," katanya selepas perlawanan menentang JDT di SSMZA di sini malam tadi.

Bagaimanapun Steinbruckner yang lebih mesra dengan panggilan Tomi tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya terutama dalam tempoh 50 minit pertama permainan.

Menurutnya walaupun berdepan pelbagai tekanan atas padang, skuad Penyu yang diketuai Habib Haroon tetap mempamerkan semangat juang tinggi sehingga saat tiupan wisel penamat.

"Tahniah kepada anak buah saya kerana beraksi dengan baik. Juga tahniah kepada JDT kerana mereka terus menang semua perlawanan," katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih Harimau Selatan, Solari Andres berkata pasukan Terengganu merupakan lawan yang sukar dan banyak peningkatan dipamerkan skuad Penyu berbanding pertemuan pusingan pertama Liga Super awal tahun lalu.

Sementara itu, malam tadi sekitar 1,000 penyokong TFC berkumpul di luar pagar utama SSMZA bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap pengadil.

Bagaimanapun tiada insiden tidak diingini berlaku kerana kawalan oleh anggota polis dan keselamatan lain yang bersiap sedia lebih awal.

-- BERNAMA