KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner berpuas hati dengan prestasi anak buahnya selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut di laman sendiri malam tadi.

Steinbruckner berkata kejayaan tersebut juga amat berharga kerana membolehkan skuad bimbingannya naik daripada tangga keenam ke kedudukan kelima Liga Super musim ini.

Beliau berkata walaupun masih terdapat beberapa kelemahan seperti ketumpulan penyudah, prestasi pemain dilihat semakin meningkat termasuk ketika aksi menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini malam tadi.

"Ini kemenangan ketiga berturut-turut dan saya berpuas hati cara kami bermain malam ini (malam tadi). Kami cipta banyak peluang dan berjaya menjaringkan dua gol.

"Mungkin kami terlepas banyak mata daripada perlawanan awal, tetapi tidak mengapa kerana sekarang kami lebih baik dan berada di kedudukan ke-5 dalam Liga Super," katanya selepas aksi Liga Super menentang Kuching City FC di SSMZA malam tadi.

Pada perlawanan itu, TFC berjaya menewaskan skuad The Cats 2-0 hasil jaringan penyerang import, Jordan Mintah.

Sementara itu pengendali Kuching City FC Irfan Bakti Abu Salim berkata kelekaan dan kesilapan mudah oleh pemain menjadi faktor kekalahan pasukannya malam tadi.

Bagaimanapun beliau mengakui belum berputus asa dan akan memperbaiki kelemahan pasukan yang kini menghuni tangga ke-12 daripada 14 pasukan di Liga Super.

"Terengganu malam ini tidaklah beraksi baik sebagaimana perlawanan sebelum ini, tetapi mereka masih menang kerana pemain kami leka dan berterusan melakukan kesilapan mudah yang menyebabkan kami dihukum.

"Tetapi saya percaya kami masih boleh buat 'come back' sebelum pusingan kedua Liga Super. Insya-Allah kami akan perbaiki kelemahan yang ada," katanya.

-- BERNAMA