Tiada rekod baharu kebangsaan dicatatkan pada hari ke-11 edisi ke-18 temasya dwitahunan Sukma pada Jumaat.

Namun kekurangan itu terubat dengan catatan beberapa rekod baharu Sukma yang menyemarakkan lagi kejohanan ini.

Lima rekod baharu Sukma diperbaharui dalam acara olahraga, manakala satu catatan menyamai rekod terdahulu dalam acara angkat berat melalui Jabriella Teo Samuel menerusi kategori clean & jerk 75kg wanita.

Dalam acara olahraga, Raja Pecut baharu negara, Khairul Hafiz Jantan terus diperkatakan apabila beliau berjaya memecahkan rekod Sukma dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Pada hari terakhir acara olahraga, beliau memperbaharui rekod Sukma dalam acara 200m lelaki dan seterusnya bersama-sama Badrul Hisyam Abdul Manap, Mohamad Emyrul Haziq Borhan dan Muhammad Azam Masri dalam acara 4x400 meter berganti-ganti.

Rekod baharu Sukma turut dicipta Noor Eewan Syafiqah Mohd Sobri (200m wanita), Mohammad Luqman Mohammad Zuki (dekatlon) dan Muhammad Irfan Shamshuddin (lempar cakera lelaki).

Sementara itu perebutan pingat antara kontinjen yang bertanding terus sengit.

Selepas 11 hari bersaing, juara lapan kali Selangor terus mendahului dengan 53 pingat emas, 66 perak dan 54 gangsa manakala kontinjen tuan rumah mengekori rapat dengan 52 emas, 34 perak dan 69 gangsa.

Kontinjen Wilayah Persekutuan masih kekal di kedudukan ketiga dengan 36 pingat emas, 39 perak dan 36 gangsa.

Walaupun majlis penutupan rasmi temasya Sukma Sarawak akan berlangsung Ahad ini, esok adalah hari terakhir semua acara sukan berlangsung.

Paling mencuri tumpuan esok ialah penentuan 'ibu segala pingat' yang akan menyaksikan pertemuan Wilayah Persekutuan bertemu juara bertahan, Perak dalam acara bola sepak.

Perlawanan akhir itu akan berlangsung di Stadium Negeri, pada 8.15 malam.

Acara hoki turut menjadi tumpuan di mana Selangor akan bertemu Melaka untuk kategori wanita, manakala perlawanan akhir hoki lelaki pula menyaksikan pertemuan dua negeri Utara tanah air, Pulau Pinang bertemu Perlis.

Pada hari terakhir acara-acara sukan temasya kali ini berlangsung, akan menawarkan sejumlah 42 pingat emas.

Acara gimnastik artistik dan tinju menjadi arena yang menawarkan paling banyak pingat dengan masing-masing menawarkan 10 dan sembilan pingat emas.