LANGKAWI: Pelumba Alpecin-Deceuninck, Sjoerd Bax mengungguli saingan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 meliputi jarak 107.1 kilometer (km) mengelilingi Pekan Kuah di sini semalam.

Pelumba Belanda itu adalah antara tiga pelumba pecut yang berada jauh di depan peloton sebelum terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 20 minit 52 saat.

Pelumba China Glory Continental Cycling Team, Willem Jacobus Smit di tempat kedua sementara Adria Moreno Sala daripada pasukan Burgos-BH di tempat ketiga juga diberikan catatan masa sama dengan Bax.

Kejayaan ini sekali gus merupakan kemenangan peringkat kali ketiga buat Alpecin-Deceuninck selepas peringkat keempat dan kelima tempoh hari.

"Pasukan berlumba dengan hebat minggu ini, kami sudah mendapat dua kemenangan dan saya tahu hari ini ialah peluang yang baik untuk saya... pendakian agak sukar tetapi mendapat kemenangan peringkat sudah cukup hebat," katanya kepada pemberita.

Pada perlumbaan membabitkan tiga zon pecutan dan dua zon pendakian itu menyaksikan Jersi Kuning (pendahulu keseluruhan) kekal disarung Ivan Ramiro Sosa Cuervo daripada Movistar Team.

Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) juga kekal milik pelumba Terengganu Polygon Cycling Team, Jambaljamts Sainbayar manakala Jersi Hijau (Raja Pecut) disarung Erlend Blikra daripada pasukan Uno-X Pro Cycling Team.

Peringkat kelapan hari ini meliputi jarak 115.9 km juga membabitkan laluan sama di Pekan Kuah.

-- BERNAMA