Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan pasukan e-sukannya tersendiri.

Presidennya Muhammad Fadzli Hasan berkata siri jelajah yang akan diadakan oleh pihaknya bakal mengenal pasti beberapa bakat baru di kalangan belia Felda.

“Kami sudah mengenal pasti beberapa belia Felda yang menunjukkan minat dengan e-sukan.

“Kami juga akan mencari bakat baru menerusi siri jelajah dan seterusnya membentuk pasukan yang boleh membawa nama Felda dan MBFM terus ke hadapan,” katanya selepas menghadiri Majlis Memeterai Perjanjian Persefaman antara Kitamen Entertainment Sdn Bhd, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) di sini, hari ini.

BACA: Malaysia antara penyumbang 98 peratus peminat e-sukan serantau - Salleh

Kerjasama strategik itu adalah bagi menyemarakkan lagi industri dan komuniti e-sukan menerusi penganjuran siri diskusi, projek dan aktiviti di peringkat akar umbi.