Malaysia atasi Sweden 5-0 di Kejohanan Remaja Dunia

Bernama
Oktober 17, 2022 16:18 MYT
Siti Nurshuhaini mengalahkan Khushi Harakamani 21-12, 21-12. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia memulakan kempen acara berpasukan campuran merebut Piala Suhadinata pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia dengan mengalahkan Sweden 5-0 di Santander, Sepanyol, hari ini.
Malaysia, dalam kumpulan A, mengutip mata pembukaan apabila pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh menewaskan Eric Ramstedt 21-10, 21-10. sebelum menambah mata kedua menerusi pemain perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini Azman.
Siti Nurshuhaini mengalahkan Khushi Harakamani 21-12, 21-12.
Beregu lelaki negara, Muhammad Fazriq Mohamad Razif- Wong Vin Sean mengesahkan kemenangan Malaysia apabila menyingkirkan pasangan Victor Morskogen-Daniel Strom, 21-12, 21-9.
Beregu wanita negara, Ong Xin Yee- Carmen Ting terpaksa berhempas pulas selama 50 minit sebelum mengalahkan Elin Ohling-Elin Ryberg, 21-18,17-21, 21-16 manakala mata terakhir diperoleh beregu campuran negara, Bryan Jeremy Goonting-Lee Xin Jie selepas mengatasi Mio Molin-Sofia Stromvall, 21-16, 21-23, 21-15.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, juara bertahan Indonesia mengalahkan Latvia 5-0.
Esok, Malaysia akan berdepan dengan Latvia manakala Indonesia menentang Sweden.
Malaysia akan menentang Indonesia, Rabu ini.
Sebanyak 38 negara dalam lapan kumpulan mengambil bahagian dalam acara berpasukan campuran itu.
-- BERNAMA
#badminton #Kejohanan Remaja Dunia #Malaysia #Sweden