KUALA LUMPUR: Pasukan hoki ais lelaki negara memulakan kempen Kejohanan Dunia Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) 2022 Bahagian IV di Bishkek, Kyrgyzstan dengan penuh bergaya selepas membenam Kuwait 5-2 hari ini.

Malaysia yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan itu terlebih dahulu dikejutkan dalam perlawanan pembukaan selepas Kuwait mendahului babak pertama perlawanan hasil jaringan Salem Alajmi seawal minit ke-4.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Gary Tan kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan penyerang Mohammad Hariz Mohammad Oryza Ananda pada minit ke-20.

Kemudian, jaringan hatrik Muhammad Fareez Afdlin Mohd Fauzi pada minit ke-32, ke-34 dan ke-37 meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa 4-1.

Pemain pertahanan Goh Juan Jie terus mengukuhkan kedudukan apabila menyumbang gol kelima negara pada minit ke-38 manakala Alli Alsarraf pula menjaringkan gol kedua Kuwait pada minit ke-46 dalam babak ketiga perlawanan.

Skuad negara selepas ini akan menentang tuan rumah Kyrgyzstan pada 5 Mac, diikuti Iran (7 Mac) dan Singapura (8 Mac).

-- BERNAMA