Malaysia Masters: Soon Huat-Shevon menyinar, mara ke suku akhir

Bernama
Julai 7, 2022 10:20 MYT
Reaksi gembira beregu campuran Malaysia Goh Soon Huat dan Lai Shevon Jemie setelah berjaya menewaskan pemain Indonesia, Hafiz Faizal dan Serena Kani pada perlawanan badminton 'Perodua Malaysia Masters 2022'. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hanya tinggal beregu profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk terus membawa harapan Malaysia dalam kategori beregu campuran pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2022 selepas tiga lagi beregu tersingkir daripada kejohanan hari ini.
Soon Huat-Shevon mara ke suku akhir selepas mengatasi Hafiz Faizal-Serena Kani dari Indonesia 21-15, 22-20, di Arena Axiata, di sini.
Selepas memenangi set pertama 21-15, pasangan nombor 25 dunia itu diasak dengan hebat oleh pasangan Indonesia itu sebelum berjaya mengawal permainan dan memenangi pertarungan sengit yang berakhir dengan 22-20.
Shevon ketika ditemui selepas perlawanan mengakui mereka berada dalam saat yang mencemaskan apabila pasangan Indonesia itu berjaya mengikat kedudukan mata 20-20 selepas ketinggalan 17-20 dalam set kedua.
Bagaimanapun, Shevan berkata beliau merasa lega selepas mereka dapat mengawal permainan dan menghidupkan semula harapan Malaysia dalam kategori beregu campuran.
Soon Huat-Shevon akan berhadapan pilihan kedua kejohanan Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dalam suku akhir esok selepas beregu China itu meranapkan harapan pasangan negara Chan Peng Soon-Cheah Yee See, 21-11, 21-13 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.
"Kami menganggap diri kami sebagai bukan pilihan kerana kami tidak pernah menewaskan mereka sebelum ini tetapi ini peluang baharu buat kami untuk mencipta satu lagi kejayaan besar daripada pertemuan esok," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, beregu campuran negara yang baru dibentuk, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei gagal dalam percubaan mereka mencipta kejutan ke atas Juara Olimpik Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China selepas tumpas 16-21, 16-21.
Pada masa sama, satu lagi beregu campuran negara Chen Tang Jie-Valeree Siow juga tersingkir daripada kejohanan selepas tewas 10-21, 12-21 kepada pasangan Thailand Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.
-- BERNAMA
#Malaysia Masters #beregu campuran #badminton #goh soon huat #Shevon Lai Jemie