Belum ada kilauan emas buat Malaysia pada hari kesembilan temasya Sukan Asia ke-17 di sini sebaliknya kontinjen negara hanya menambah dua pingat perak.

Perak diperoleh menerusi trio memanah recurve berpasukan lelaki dan trio boling lelaki.

Bagi atlet memanah, walaupun gagal meraih emas, masih dapat melangkah ke peringkat akhir, yang dianggap satu pencapaian membanggakan kerana sasaran awal hanya untuk ke separuh akhir sahaja.

Bagi Khairul Anuar Mohamad, Atiq Bazil Bakri dan Haziq Kamaruddin, pertembungan dengan gergasi memanah Asia adalah pengalaman berharga dan banyak dapat dipelajari terutama dalam mengawal tempo dan permainan agar sentiasa melakukan panahan konsisten.

Skuad boling sekali lagi gagal menghadiahkan emas apabila Zulmazran Zulkifli, Timmy Tan dan Syafiq Ridhwan Abdul Malek hanya membuat 3,801 jatuhan pin meraih perak, 80 pin di belakang trio Jepun yang meraih emas.

Pingat gangsa pula dimenangi pasukan tuan rumah Korea.

Dalam kategori trio wanita, atlet negara Esther Cheah, Shalin Zulkifli dan Sin Li Jane terpaksa berpuas hati di kedudukan keenam selepas mengumpul 3,661 jatuhan pin.

Tuan rumah Korea memonopoli acara ini apabila meraih emas dan gangsa dengan masing-masing membuat 3,896 dan 3,692 jatuhan pin, manakala pingat perak dimenangi Singapura dengan 3,753 jatuhan pin.

Harapan untuk melihat emas bagi acara badminton perseorangan lelaki juga musnah apabila pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei tewas kepada musuh tradisinya dari China, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir, Ahad.

Chong Wei yang bermula dengan baik pada awal permainan, bagaimanapun terpaksa tunduk kepada Lin Dan pada set pertama 20-22 sebelum bangkit pada set kedua dengan 21-12.

Bagaimanapun, Lin Dan berjaya menutup peluang Chong Wei apabila menang mudah pada set penentuan 21-9 untuk bertemu rakan senegara Chen Long pada perlawanan akhir, Isnin.

Dalam pada itu, ketua kontinjen Datuk Daniyal Balagopal Abdullah tetap optimis kontinjen negara masih mampu mencapai sasaran lapan pingat emas, walaupun mengakui kegagalan membawa pulang emas bagi acara berbasikal sedikit menjejaskan sasaran awal yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Tapi saya yakin kita berada di landasan yang betul. Kita masih mengharapkan pingat emas dari acara pelayaran, terjun dan karate dan juga mengharapkan sepak takraw mampu membuat rombakan segera untuk bersaing dan menyumbang sesuatu dalam acara regu," katanya.

Isnin, pemburuan emas bagi Malaysia akan bermula dalam acara terjun yang menampilkan dua pasangan terjun dalam acara tiga meter papan anjal seirama wanita dan 10m platform seirama lelaki, sambil mengharapkan sinaran emas sekali lagi menjelma daripada acara boling lima berpasukan.