PENDAHULU Manchester City membelasah Leeds United 7-0 di Stadium Etihad bagi melebarkan kemenangan ketujuh berturut-turut The Citizens dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Pep Guardiola memimpin saingan liga dengan kelebihan empat mata selepas mengharungi 17 perlawanan mengatasi pesaing terdekat Liverpool yang kurang satu permainan.

Gawang anak buah Marcelo Bielsa terlebih dahulu bolos seawal minit kelapan menerusi Phil Foden sekali gus gol ke-500 liga Manchester City dalam 207 perlawanan di bawah Guardiola.

Tuan rumah melebarkan jaringan lima minit kemudian menerusi tandukan Jack Grealish yang menyudahkan hantaran lintang Riyad Mahrez menewaskan penjaga gol Leeds, Illan Meslier.

Kevin De Bruyne kemudian menjadikan kedudukan 3-0, apabila mempamerkan kepantasan dan penyudah klinikal hantaran daripada Rodri pada minit ke-32'.

Tidak lama selepas babak kedua bermula, Manchester City menambah lagi gol keempat kali ini menerusi Mahrez pada minit ke-49', sebelum De Bruyne meledak gol kelima tuan rumah pada minit ke-62'.

John Stones turut mencetak nama sebagai penjaring dengan gol pada minit ke-74, sebelum pemain gantian Nathan Ake menanduk masuk sepakan sudut Foden minit ke-78' untuk menjadikan kedudukan 7-0.

KEPUTUSAN

Manchester City 7-0 Leeds United
Foden (8')
Grealish (13')
De Bruyne (32', 62')
Mahrez (49')
Stones (74')
Aké (78')

Norwich City 0-2 Aston Villa
Ramsey (34')
Watkins (87')


Artikel asal di Sinar Harian