Ketika perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah yang berlangsung di Parc des Princes, penjaga gol City, Joe Hart, membuat hantaran pendek kepada pertahanan Fernando yang tidak sedar Ibrahimovic berada berdekatan.
Tindakan kelam kabut Fernando juga memudahkan tugas pemusnah PSG itu untuk menyumpurnakan gol penyamaan 1-1, dengan hanya menampan bola ketika Hart sendiri tidak menyangka bola tersebut datang kembali.
Kejadian yang berlaku 5 minit sebelum rehat itu, pastinya akan kekal diingati Fernando tatkala City sepatutnya boleh membawa pulang kemenangan.
Pengurus City, Manuel Pellegrini, mengakui jika City mahu menang kesilapan seperti itu harus dielakkan.
"Perlawanan yang sangat sengit hingga ke penamat. Peluang dalam suku akhir ini terus terbuka dan ini keputusan yang bagus untuk kita. Kita telah melakukan beberapa kesilapan besar. Jika kita mahu menang, kita tidak boleh melakukan kesilapan seperti ini," katanya selepas tamat perlawanan.
Dalam satu program 'pundit' menerusi saluran BT Sport, bekas penjaga gol Ciy, Shay Given, berkata: "Ia adalah sentuhan yang teruk. Gol yang mengejutkan. Pada perlawanan peringkat ini, ia adalah kesilapan yang teruk. Memberi gol seperti ini adalah tidak masuk akal".
Bagaimanapun, Hart tampil enggan menyalahkan Fernando, sebaliknya mengambil sikap positif dengan memberi perhatian terhadap keseluruhan persembahan City.
"Kita tidak mahu menutup persembahan baik kita. Betul, ia adalah kesilapan, tetapi ia juga satu perlawanan yang hebat," kata Hart, ketika ada pemerhati turut menyalahkannya.
Jaringan tersebut turut menebus kekecewaan Ibrahimovic yang gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum itu. PSG dihadiahkan penalti selepas David Luiz dijatuhkan pemain lawan di dalam kotak penalti.
Selain Ibrahimovic, Adrien Rabiot turut menjaringkan gol di minit ke-59, manakala dua gol City dihasilkan oleh Kevin De Bruyne (m38) dan Fernandinho (m72).
Perlawanan timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah antara Manchester City dan PSG akan berlangsung di Stadium Etihad pada 13 April ini.
Saksikan sorotan perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah antara PSG menentang Manchester City.