PENJAGA gol Albiceleste, Emiliano Martinez, berharap kapten Argentina, Lionel Messi, kekal menghadirkan prestasi cemerlang memimpin pasukan bagi menghadapi Piala Dunia 2026 di Amerika Utara.

Gesaan dibuat di sebalik pengesahan bintang berusia 35 tahun itu bahawa final Ahad ini menentang Perancis sebagai penampilan terakhir di pentas Piala Dunia.

Messi menjadi inspirasi dalam membantu Argentina mara ke final Piala Dunia 2022 di Qatar.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu sudah meledak lima gol termasuk penalti ketika kemenangan 3-0 ke atas Croatia pada separuh akhir.

Messi baru-baru ini mendedahkan aksi final nanti mungkin menjadi penampilan terakhirnya dan berhasrat meninggalkan skuad kebangsaan dengan kejayaan meraih trofi Piala Dunia.

Bagaimanapun, Martinez mempunyai pandangan berbeza dan percaya kapten itu mampu memimpin mereka sekali lagi pada Piala Dunia akan datang dalam tempoh empat tahun lagi.

"Pada saya dia boleh beraksi hingga 50 tahun. Dia kelihatan begitu tepat dan dia dapat beraksi dengan sangat baik," kata Martinez kepada FootballersLives.tv.

"Messi seorang pemain yang tenang dan mampu membuatkan sesuatu perkara itu nampak mudah, biarpun ia dilihat sebagai sukar di peringkat awal.

"Untuk memahami bagaimana bagus dia mengawal bola adalah sesuatu yang di luar jangkaan." -- Stadium Astro